Saturday, June 9, 2012

#5

Semua orang asyik membicarakan perihal gegaran semalam setibanya aku tiba di kafeteria tengahari itu. Semua. Tidak ketinggalan juga mak cik tukang jual nasi ayam di situ. Hajat aku untuk ke kafeteria hanyalah untuk makan tengahari memandangkan Nik dan Zahiah sudah menelefon aku mengajak makan bersama di kafeteria tadi.

Mataku ligat mencari-cari kelibat Nik dan Zahiah di celah-celah orang ramai. Tiba-tiba aku terpandang mereka yang baru tiba dari library, berjalan sambil memegang beberapa buah fail dan buku di tangan. Mereka tersenyum dari kejauhan sambil mata tepat kearahku. Lebar sekali senyumanku kurasakan meskipun sekadar membalas senyuman mereka.

"Jom. Kita cari meja kosong dulu." Usul Nik.

Sebaik sahaja kami mendapat meja kosong, salah seorang daripada kami menunggu. Akulah tu. Nik dan Zahiah bergandingan menuju ke kaunter bufet. Aku sekadar memerhati rancangan yang disiarkan di televisyen di hadapanku. Tsunami berskala 9.1 ritcher melanda beberapa buah negara. Impaknya sungguh menakutkan. Semenanjung Malaysia juga tidak terkecuali. Kebanyakan pantai yang dilanda tsunami itu menelan berpuluh-puluh nyawa, hanya di Malaysia. Masha-Allah.

Sesungguhnya Allah telah menurunkan balanya. Tangan-tangan manusia telah melakukan kerosakan di atas muka bumiNya. Banyak tempat di sekitar pantai barat semenanjung termasuklah tempat aku berpijak ini turut merasai gegaran itu. Hanya aku yang tak rasa. Apa deria rasa aku pun dah hilangkah??

"Farha, teruk kan tsunami semalam tu?" ujar Nik seraya meletakan pinggan berisi nasi ayam di tepiku. 

"Ha'ah la. Ramai yang mati. Tengok tu. Kereta pon banyak yang jahanam. Tengok yang dekat Acheh tu, dah macam padang jarak padang tekukur aku tengok. Ajaibnya masjid diorang semua selamat padahal bangunan lain tepi-tepi masjid tu lansung hilang. Tapak pon takde. Kuasa Allah." Aku memuncungkan mulutku ke arah televisyen di hadapan.

"Ke? banyok sangat maksiat lo tu." sampuk Zahiah pulak. Telo kelantannya lansung tidak mahu hilang meskipun sudah hampir setahun kami di bumi Melaka, tanah bersejarah ini. Malahan Zahiah bangga berdialek kelantan. Anak jati Kelantan katanya.

Makan tengahari kami hari itu dihiasi dengan cerita mengenai tsunami. Sambil makan, sambil berborak. Memang itulah kami, sejak mula berkenalan sehingga hampir tamat sesi matrikulasi ini. Aku harap ukhuwah ini tidak terhenti sampai di sini sahaja.

No comments:

Post a Comment