Saturday, June 9, 2012

#5

Semua orang asyik membicarakan perihal gegaran semalam setibanya aku tiba di kafeteria tengahari itu. Semua. Tidak ketinggalan juga mak cik tukang jual nasi ayam di situ. Hajat aku untuk ke kafeteria hanyalah untuk makan tengahari memandangkan Nik dan Zahiah sudah menelefon aku mengajak makan bersama di kafeteria tadi.

Mataku ligat mencari-cari kelibat Nik dan Zahiah di celah-celah orang ramai. Tiba-tiba aku terpandang mereka yang baru tiba dari library, berjalan sambil memegang beberapa buah fail dan buku di tangan. Mereka tersenyum dari kejauhan sambil mata tepat kearahku. Lebar sekali senyumanku kurasakan meskipun sekadar membalas senyuman mereka.

"Jom. Kita cari meja kosong dulu." Usul Nik.

Sebaik sahaja kami mendapat meja kosong, salah seorang daripada kami menunggu. Akulah tu. Nik dan Zahiah bergandingan menuju ke kaunter bufet. Aku sekadar memerhati rancangan yang disiarkan di televisyen di hadapanku. Tsunami berskala 9.1 ritcher melanda beberapa buah negara. Impaknya sungguh menakutkan. Semenanjung Malaysia juga tidak terkecuali. Kebanyakan pantai yang dilanda tsunami itu menelan berpuluh-puluh nyawa, hanya di Malaysia. Masha-Allah.

Sesungguhnya Allah telah menurunkan balanya. Tangan-tangan manusia telah melakukan kerosakan di atas muka bumiNya. Banyak tempat di sekitar pantai barat semenanjung termasuklah tempat aku berpijak ini turut merasai gegaran itu. Hanya aku yang tak rasa. Apa deria rasa aku pun dah hilangkah??

"Farha, teruk kan tsunami semalam tu?" ujar Nik seraya meletakan pinggan berisi nasi ayam di tepiku. 

"Ha'ah la. Ramai yang mati. Tengok tu. Kereta pon banyak yang jahanam. Tengok yang dekat Acheh tu, dah macam padang jarak padang tekukur aku tengok. Ajaibnya masjid diorang semua selamat padahal bangunan lain tepi-tepi masjid tu lansung hilang. Tapak pon takde. Kuasa Allah." Aku memuncungkan mulutku ke arah televisyen di hadapan.

"Ke? banyok sangat maksiat lo tu." sampuk Zahiah pulak. Telo kelantannya lansung tidak mahu hilang meskipun sudah hampir setahun kami di bumi Melaka, tanah bersejarah ini. Malahan Zahiah bangga berdialek kelantan. Anak jati Kelantan katanya.

Makan tengahari kami hari itu dihiasi dengan cerita mengenai tsunami. Sambil makan, sambil berborak. Memang itulah kami, sejak mula berkenalan sehingga hampir tamat sesi matrikulasi ini. Aku harap ukhuwah ini tidak terhenti sampai di sini sahaja.

Tuesday, May 22, 2012

#4

Alunan surah Yassin berkumandang di segenap sudut bilik ini. Tanpa sedar, air mata menitis lagi. Titisnya membasahi helaian kitab suci di tanganku. Lemah sungguh aku rupanya. Inilah hikmahnya perpisahan ini. Allah mahu aku kembali merapati sisiNya. Mungkin aku sudah terlalu jauh menyimpang dari fitrahku. Astaghfirullahal-Azim. Betapa baru kini aku tersedar yang aku punya banyak dosa. Mungkin inilah caranya Allah mengingatkan aku yang sering kali terlupa ini. Syukur. Walau aku kehilangan dia, Allah sentiasa ada bersamaku. Tiap saat, tiap ketika. Waktu senang apatah lagi saat sukar seperti ini. Alhamdulillah. Besar sungguh cintaMu, ya Allah.

Usai bacaan Yassin, aku tutup dan cium kitab suci di tanganku. Lama aku merenung. Ini masa untuk aku terus melangkah, meninggalkan kenangan. Aku ada misi yang perlu dijayakan disini. Misi yang menagih fokus yang semakin menghilang kebelakangan ini. Aku leka. Leka dalam kesedihan ini. Lupakan kisah ini, setidak-tidaknya waktu ini. Peperiksaan akhir bakal tiba beberapa hari sahaja lagi. Ya, mesti. Aku boleh.

"Saya nak call Dini asyik tak dapat je la." Suara Nik jelas nyata menyapa aku. Aku cabut marhana dari kepalaku selepas meletakkan Al-Quran di sisi meja studyku.

"Line busy kot?" Aku menyampuk.

Tiba-tiba kedengaran orang ramai berlari-lari menuruni anak tangga. Nik dan Zahiah menjenguk ke luar. Aku turut menjengah kepala ke luar pintu. Kelihatan pelajar-pelajar dari tingkat 4 dan 3 turun secara beramai-ramai. Entah kemana hala tuju mereka.

"Eh, ada rocall ke?" Aku bertanya Nik.

"Entah, takde dengar pulak Miss Mimi panggil tadi. Apasal semua orang berlari ni?" Nik turut bertanya.

Kami laksana orang bodoh-bodoh alang sahaja lagaknya. Semua pelajar dari segenap sudut bangunan asrama itu berlari-lari menuju ke bawah. Aku jadi kebingungan sebentar. Aku terlihat Nina, teman bersebelahan bilikku berjalan laju, turut menuju ke arah bawah.

"Nina, ada apa hal ni? kenapa semua orang berlari? Miss Mimi ada panggil rocall ke?" tanyaku.

"Eh, kau tak rasa ke gegaran tadi tu? Aku siap rasa katil bergoyang-goyang lagi tau. Tu yang semua orang turun tu."

"Gegaran?" aku bertanya semula. Diam seketika. Cuba merasai sebarang kelainan pada tempat aku berdiri. Kot-kot la ada gegaran lagi kan.

"Emmm...aku takde rasa ape-ape pon." terangku.

Nina mengjungkit bahunya. Aku mengangkat kening double jerk dan terus berpaling masuk ke dalam bilik bila semua orang kedengaran naik semula ke bilik masing-masing. Nina juga kembali ke biliknya sendiri.

Sunday, May 20, 2012

#3

Barangkali waktu akan melupuskan kenangan. Aku pasti itu.

"FARHA."

Aku tersentak. Anganku mati, berkecai semuanya. Suara Nik mengembalikan aku ke alam nyata. Bulat matanya melihat wajahku.

"Awak kenapa Farha? Ada masalah ke?"  aku senyum. Lebar sekali kurasakan. Cuba menyangkal segala rasa yang sedang dirasa.

"Tak de apa-apa la. Kenapa?" Aku berbalas soalan.

"Nak ikut saya study dekat library tak petang ni?" Nik mengemaskan semua buku di atas mejanya. Kalau ke library, pasti bukan sendirian. Aku sudah masak perangai Nik. Pasti ditemani seseorang.

"Siapa lagi?" aku bertanya. Belum pasti dengan jawapan di minda sendiri.

"Saya dengan Dini. Hehehee. Jom la. Awak study sorang je dalam bilik ni. Tak bosan ke?" Nik bersungguh-sungguh mengajakku study bersama.

"Emm..saya segan la dengan Dini tu. Takpe la. Study dalam bilik pon macam tak biasa." Muktamad. Zahiah juga ke perpustakaan bersama dengan teman lelakinya. Azwa ke bilik teman rapatnya untuk belajar secara berkumpulan. Hanya aku sendirian di dalam bilik mengulangkaji.

Aku tak sanggup melihat pasangan-pasangan bercinta ini di depanku. Aku bimbang andai aku gagal mengawal perasaan sendiri. Gagal untuk cuba menanggalkan dia dari kotak fikiranku. Aku mahu dia pergi. Pergi jauh dari aku walau aku tahu itu amat mustahil. Apatah lagi ketika ini.

Sebaik sahaja Nik keluar dari bilik kami, aku kembali mengadap buku fizik di hadapanku. Berulang kali aku membaca baris yang sama. Namun satu pun tidak masuk ke kepala. Sengal sungguh! Peperiksaan akhir tinggal lagi lebih kurang seminggu dari sekarang. Bermacam-macam pula menganggu benakku ini. Aku sungguh tertekan. Di luar kesedaranku, air mataku menitis lagi. Lagi dan lagi. Habis basah buku rujukanku dibuatnya.

Sukar sungguh untuk aku melupakan dia. Kenangan bersama dia. Semudah itukah bagi dia meninggalkan aku. Siapakah aku pada dirinya sebenarnya? Tong sampahkah? Atau kain burukkah? Diambil ketika perlu, dibuang ketika tidak diperlukan? Sehina itukah aku dimata dia?

Biar apa pun sebabnya, aku tetap gagal membenci dia. Tiada sekelumit benci pun singgah di sanubari ini untuk dirinya. Mengapa? mengapa rasa ini terlalu tebal untuk dirinya? Kenapa???

Saturday, May 19, 2012

#2 - Perpisahan itu.

Aku pejamkan mataku. Ingin melupakan segalanya. Biar berkali-kali aku cuba menekadkan diri, namun ia umpama mimpi yang tidak pernah berakhir. Kembali dan kembali. Biarpun disaat aku tidak menginginkannya. Degil. Sungguh degil.

Aku selak selimut yang menutupi kakiku. Aku bingkas bangun. Arah tujuku cuma ada satu. DIA. Teman-teman sebilik sudah enak dibuai mimpi. Entah kemana mereka agaknya. Aku. Hanya aku yang berjaga. Lampu di koridor ampaian masih menyala, menerangi aku walau agak suram cahayanya. Aku raup sekali lagi wajahku. Lewat ini sukar benar lena. Semenjak dia pergi meninggalkan aku terkontang kanting sendiri. Tanpa sebab munasabah. Aku juga tidak mahu tahu apa sebabnya. Aku bimbang. Bimbang luka di hati akan jadi berganda-ganda robeknya.

Aku buka pintu bilikku, terus menuju ke tandas untuk mengambil wudhuk. Usai di tandas, aku kembali ke bilik. Kubentangkan sejadah dan kusarungkan marhana putih pemberian ibu kepadaku sebelum aku menjejak kaki ke sini. Solat sunat taubat 2 rakaat. Moga sang pencipta mengembalikan semangatku yang hilang ini. Moga Dia mendengar rintihan hatiku ini.

Dan air mata gugur lagi untuk ke sekian kalinya.

Friday, April 20, 2012

# 1 - Prolog

Bukan. Ini bukan pinta aku.
Bukan aku pinta ia berakhir disini.
Bukan aku yang minta ia berakhir begini. 
Salah siapa?
Akukah?
Ataupun dia?

Sumpah! Aku sedih. Cuma  aku gagal menangis didepan khalayak. Aku juga tahu malu. Aku mahu simpan semua rasa ini, jauh di dalam hati. Biar tiada siapa pun bisa menghidu yang aku sedang sendu. Aku sedang pilu. Dan aku sedang menangis. Ya, hatiku ini sedang menangis. Hatiku ini sedang merintih. Sedih atas apa yang telah berlaku.

Ya Allah! Dugaan ini berat sekali ku rasakan...